MINTRED Perkukuh Daya Saing Usahawan Melalui Kursus Pembungkusan Produk
SRI AMAN: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) terus memperkukuh pembangunan usahawan tempatan menerusi Kursus Asas Keusahawanan Pembungkusan Produk bagi meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran.
Program selama dua hari bermula 6 hingga 7 Mei itu disertai 30 peserta dan berlangsung di Wisma Sri Aman Development Agency (SADA), Sri Aman.
Kursus anjuran MINTRED dengan kerjasama Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Sri Aman tersebut memberi pendedahan kepada usahawan berkaitan teknik pembungkusan produk yang lebih berkualiti, kreatif dan memenuhi kehendak pasaran semasa.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan aspek asas pelabelan produk, pemilihan bahan pembungkusan yang sesuai serta kepentingan reka bentuk produk dalam menarik perhatian pengguna dan meningkatkan nilai tambah produk.
Selain sesi teori, peserta turut mengikuti latihan praktikal berkaitan teknik pembungkusan dan penghasilan reka bentuk produk yang lebih menarik serta menepati piawaian semasa.
Inisiatif berkenaan selaras dengan usaha kerajaan Sarawak memperkasa usahawan mikro dan kecil agar lebih berdaya saing selain membantu memperluas peluang pasaran bagi produk tempatan.
Penganjuran kursus tersebut juga diharap mampu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang kreatif, inovatif dan kompetitif sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti di Sarawak.
Susulan sambutan yang menggalakkan, program sama dijadual diteruskan ke Kanowit dan Sarikei dalam usaha memperluaskan manfaat kursus kepada lebih ramai usahawan di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS