Sarawak Peruntuk RM4 Juta Ringankan Beban Pesakit Buah Pinggang
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4 juta tahun ini menerusi Program Bantuan Pesakit Buah Pinggang bagi mengurangkan beban pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata inisiatif itu bertujuan memastikan pesakit mendapat rawatan tepat pada masanya termasuk membantu menampung kos rawatan dialisis.
“Kerajaan Sarawak kekal komited membangunkan ekosistem rawatan kesihatan yang lebih lengkap, mudah diakses dan berkualiti bagi mengurangkan beban pesakit penyakit buah pinggang kronik di negeri ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee semasa Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 Peringkat Sarawak dan Larian Amal Buah Pinggang di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Dataran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS pada Sabtu.
Datuk Amar Dr. Sim menambah, Sarawak kini merekodkan antara 700 hingga 800 kes baharu penyakit buah pinggang setiap tahun dengan lebih 4,800 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis di seluruh negeri.
Jelasnya, penyakit buah pinggang kronik kini menjadi antara cabaran kesihatan awam utama negara apabila kadar prevalens meningkat daripada 9.07 peratus pada 2011 kepada 15.48 peratus pada 2018.
“Ini bermakna hampir satu daripada enam rakyat dewasa di Malaysia berkemungkinan menghidap penyakit buah pinggang tanpa menyedari keadaan mereka sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sokongan kepada hospital kerajaan Persekutuan melalui penyediaan fasiliti dan peralatan rawatan termasuk lebih 30 mesin hemodialisis bernilai RM1.2 juta di bawah inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang.
“Selain bantuan rawatan, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan tambang RM50 bagi setiap sesi rawatan kepada pesakit luar bandar yang perlu melakukan perjalanan jauh ke pusat dialisis,” katanya.
Katanya, tambahan mesin hemodialisis turut dijadual diagihkan tahun ini melibatkan hospital di Miri, Bintulu, Mukah dan Sarikei.
Sementara itu, sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 anjuran National Kidney Foundation (NKF) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UNIMAS turut disertai 250 peserta menerusi acara larian amal sejauh lima kilometer.
Program tersebut diadakan bersempena tema global tahun ini, “Kidney Health for All: Caring for People, Protecting the Planet” bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal dan pencegahan penyakit buah pinggang.-EDISI UKAS