Keperluan Masyarakat Luar Bandar Terus Diberi Perhatian
SELANGAU: Keperluan masyarakat luar bandar terus diberi perhatian apabila penduduk Rh. Missie Anggat, Ulu Arip menerima bantuan atap spandek menerusi Projek Mesra Rakyat (MyKHAS) bagi membaik pulih rumah panjang mereka.
Bantuan melibatkan 22 pintu kediaman itu disalurkan oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta sebagai usaha membantu penduduk menikmati kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Inisiatif tersebut dilihat amat bermakna kepada komuniti rumah panjang berkenaan memandangkan sebahagian atap lama telah uzur dan memerlukan penggantian segera, terutama bagi menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu.
Penduduk Rh. Missie Anggat menyambut baik bantuan yang diberikan dan menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat luar bandar yang sentiasa memerlukan sokongan dalam meningkatkan kualiti kehidupan harian.
Selain membantu meringankan beban penduduk, bantuan itu turut menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti apabila kerja-kerja baik pulih dijalankan secara bergotong-royong oleh penduduk rumah panjang.
Sementara itu, Tuai Rumah Missie Anggat turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Edwin Banta atas bantuan serta keprihatinan beliau terhadap keperluan penduduk di kawasan tersebut.
Menurut beliau, bantuan yang diterima bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk ketika ini, malah menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti rumah panjang secara berterusan. -EDISI UKAS