Kerjasama Persekutuan-Sarawak Perkukuh Agenda Pendidikan Luar Bandar
LIMBANG: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terus menjadi pemacu penting dalam memperkukuh agenda pendidikan luar bandar demi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kestabilan politik di peringkat Persekutuan dan negeri membolehkan pelbagai inisiatif pendidikan dilaksanakan secara lebih berkesan, khususnya melibatkan pembangunan infrastruktur sekolah, pembelajaran digital serta kebajikan murid dan guru.
Menurut beliau, kerajaan komited memastikan setiap dasar pendidikan dapat diterjemahkan hingga ke peringkat akar umbi supaya manfaatnya dapat dirasai masyarakat luar bandar.
“Dengan kerajaan yang stabil, kita dapat memastikan pelbagai manfaat dan bantuan dapat disalurkan terus kepada rakyat,” katanya ketika berucap semasa Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 Tahun 2026 di SK Limpaku Pinang, pada Jumaat.
Dalam program tersebut, sebanyak RM272,875.50 diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan kuarters, penambahbaikan prasekolah dan naik taraf tangki air sekolah berkenaan.
Selain itu, sebuah smart board disumbangkan oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn manakala 20 unit tablet disalurkan oleh Yayasan Didik Negara bagi menyokong pembelajaran digital murid.
Sebanyak RM10,000 turut diperuntukkan menerusi Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital bagi memperkasa kompetensi guru dalam mengintegrasikan teknologi dalam bilik darjah.
Pada masa sama, 33 set sokongan persekolahan turut diagihkan kepada murid yang memerlukan sebagai usaha memastikan mereka tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan serta memastikan anak-anak di negeri ini mendapat akses pendidikan yang lebih baik tanpa mengira lokasi.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise. -EDISI UKAS