Penduduk Semera Berganding Bahu Perangi Wabak Denggi
ASAJAYA: Penduduk Kampung Semera bersama komuniti sekitar berganding bahu bagi menangani penularan wabak denggi di kawasan tersebut dengan menjayakan program gotong-royong bersepadu pada Sabtu.
Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin berkata, penglibatan aktif masyarakat dalam program seumpama itu mencerminkan kesedaran tinggi penduduk terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Menurut beliau, tindakan pencegahan awal amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara daripada ancaman penyakit berbahaya.
“Penduduk perlu terus peka dan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kawasan kediaman bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya ketika ditemui semasa program berlangsung.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan kawasan persekitaran, mengutip sampah sarap, membersihkan sistem saliran serta menghapuskan takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.
Program melibatkan penduduk Kampung Semera Ulu, Kampung Semera Hilir dan Kampung Semera Lot itu diadakan hasil persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Denggi Daerah Asajaya Bilangan 4/2026 yang berlangsung pada 5 Mei lalu.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan susulan peningkatan kes demam denggi di beberapa kawasan sekitar sekali gus sebagai langkah awal memutuskan rantaian pembiakan nyamuk Aedes. -EDISI UKAS