MIRI: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus disemarakkan menerusi Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Sarawak 2026 di Boulevard Mall, di sini bermula 9 hingga 10 Mei.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu menjadi platform penting dalam memperkukuh integrasi nasional melalui pelbagai pengisian berteraskan kebudayaan, patriotisme dan penglibatan komuniti.
Berlangsung seawal jam 8 pagi hingga 10.30 malam, sambutan berkenaan menghimpunkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan komuniti dan masyarakat setempat menerusi 45 reruai pameran melibatkan booth kebudayaan, agensi kerajaan serta Rukun Tetangga Progresif (RTP) dari seluruh Sarawak.
Antara tarikan utama ialah demonstrasi Signature Zon Sarawak, program FoodUnites dan Rumah KAMI yang mengetengahkan keunikan tradisi serta warisan masyarakat pelbagai etnik di negeri ini.
Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk sukan rakyat, pertandingan e-sukan, pertandingan Nopeng dan Betandak, jualan usahawan tempatan serta food truck yang memeriahkan suasana sepanjang program berlangsung.
Hari pertama sambutan diisi dengan aktiviti berunsur patriotik dan perpaduan seperti Senam Perpaduan, Bicara Perpaduan bertemakan “Keharmonian Dalam Kepelbagaian”, tayangan video kisah patriotik serta persembahan silang budaya.
Sementara itu, hari kedua bakal menyaksikan penganjuran Unity Fun Walk dengan peserta mengenakan pakaian tradisional pelbagai kaum sebagai simbolik keharmonian dan keutuhan masyarakat majmuk di Sarawak.
Program turut mengetengahkan elemen kerjasama komuniti menerusi aktiviti Rewang yang memupuk semangat gotong-royong selain pengisian pendidikan seperti Puzzle Activity dan STEM Kids bagi menarik penglibatan golongan muda.
Kemuncak sambutan dijadual disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada 10 Mei ini. -EDISI UKAS