Miri Jadi Pentas Pertandingan Robotik Antarabangsa
MIRI: Kejohanan Borneo International Robot Tournament 2026 (Borneo IRT 2026) memasuki kemuncak saingan apabila 16 pasukan terbaik bagi setiap kategori rasmi diumumkan selepas tamat peringkat kumpulan pada Sabtu.
Kejohanan yang berlangsung di Meritz Hotel dan Bintang Megamall itu menyaksikan persaingan sengit sepanjang empat hari pertandingan melibatkan pasukan dari dalam dan luar negara yang menampilkan kemahiran tinggi dalam bidang robotik serta pengaturcaraan teknologi.
Sepanjang saingan berlangsung, peserta memperlihatkan keupayaan dalam kawalan teknikal robot, strategi pertandingan dan kerjasama berpasukan ketika berdepan cabaran daripada pasukan pelbagai negara dan wilayah.
Beberapa kategori turut menyaksikan persaingan mata yang amat rapat sehingga keputusan kelayakan ke pusingan akhir hanya dapat ditentukan pada saat terakhir pertandingan.
Pengumuman senarai pasukan yang berjaya mara ke kelompok 16 terbaik turut menyemarakkan suasana kejohanan apabila semua pasukan mula melakukan persiapan akhir termasuk penyesuaian teknikal dan strategi bagi menghadapi cabaran seterusnya.
Kejohanan anjuran SMK Chung Hua (CF) Miri itu menghimpunkan penyertaan dari Malaysia serta beberapa negara dan wilayah lain termasuk Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Macau, Vietnam, Thailand, Laos, Myanmar dan Mexico.
Selain menjadi platform pertandingan robotik bertaraf antarabangsa, kejohanan tersebut turut berperanan sebagai medium pertukaran ilmu teknologi dan interaksi budaya dalam kalangan belia pelbagai negara.
Kejohanan itu bukan sahaja memberi penekanan terhadap kemahiran teknikal dan daya saing, malah turut membentuk pemikiran kreatif, kebolehan menyelesaikan masalah serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.
Pusingan akhir dijadual berlangsung hari yang sama dengan pasukan yang layak akan bersaing bagi merebut kejuaraan dalam kategori masing-masing sekali gus menyemarakkan lagi kemuncak kejohanan robotik berprestij tersebut.- EDISI UKAS