Nostalgia The Beatles Gegar Kuching Menerusi Konsert Eksklusif The Fabfour
KUCHING: Aura legenda muzik dunia, The Beatles kembali “hidup” di Kuching menerusi persembahan eksklusif kumpulan tribute terkenal dari Australia, The Fabfour, yang berjaya membawa penonton mengimbau era kegemilangan muzik 1960-an dalam suasana penuh nostalgia pada Sabtu.
Konsert berdurasi hampir dua jam itu menghimpunkan lebih 30 lagu ikonik The Beatles yang dipersembahkan secara bertenaga lengkap dengan elemen visual autentik, termasuk kostum serta gaya persembahan mengikut era kegemilangan kumpulan legenda berkenaan.
Antara lagu malar segar yang dipersembahkan termasuk I Want To Hold Your Hand, Let It Be dan Hey Jude yang bukan sahaja mencetuskan sorakan penonton, malah menghidupkan kembali fenomena “Beatlemania” yang pernah mencetuskan revolusi besar dalam industri muzik dunia.
Lebih menarik, Kuching menjadi destinasi pertama siri jelajah The Fabfour di Malaysia sebelum kumpulan itu meneruskan persembahan ke Kuala Lumpur dan George Town, sekali gus memperkukuh kedudukan bandar raya ini sebagai antara lokasi pilihan bagi penganjuran acara hiburan bertaraf antarabangsa.
Ditubuhkan sejak 1992, The Fabfour terus mencipta reputasi tersendiri di pentas antarabangsa menerusi persembahan tribute yang menampilkan elemen muzik, vokal, gaya pentas dan penampilan hampir menyamai kumpulan asal The Beatles.
Persembahan malam itu dibarisi Stephen Derek Brazier yang membawa watak John Lennon, Richard James Taylor sebagai George Harrison, Brendan Dale Gaspari sebagai Paul McCartney dan Mark Dudley Nelson sebagai Ringo Starr.
Gabungan persembahan bertenaga, harmoni vokal yang hampir menyerupai kumpulan asal serta interaksi santai bersama penonton berjaya mewujudkan pengalaman konsert yang cukup mengujakan dan intim kepada para peminat.
Lebih lima dekad selepas era kegemilangan The Beatles, pengaruh kumpulan legenda tersebut masih kekal besar dalam membentuk landskap muzik global, dan legasi itu diterjemahkan semula menerusi persembahan interaktif The Fabfour yang sarat dengan elemen nostalgia serta emosi.
Konsert berkenaan turut menawarkan pengalaman eksklusif kepada peminat menerusi suasana venue yang lebih dekat dan santai, sekali gus membolehkan penonton menikmati setiap persembahan dengan lebih mendalam.
Turut hadir memeriahkan konsert ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Morshidi Frederick serta artis veteran terkenal tanah air, Datuk DJ Dave. —EDISI UKAS