Kerajaan Sarawak Yakin Lahirkan Lebih Ramai Tenaga Profesional
KUCHING: Kerajaan Sarawak yakin mampu melahirkan lebih ramai tenaga profesional dengan pengenalan kepada pelbagai polisi yang mengambil kira keseluruhan proses sumber manusia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau yakin kesemua populasi 2.8 juta rakyat negeri ini mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka pilih.
“Walaupun jumlah penduduk Sarawak hanya 2.8 juta, jangan risau kerana 2.8 juta itu akan menjadi masyarakat yang bijak dan berkemahiran tinggi kerana kita mahu melahirkan tenaga kerja Sarawak yang pakar dalam bidang masing-masing serta memperkenalkan industri yang menawarkan gaji lebih tinggi,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut perkara berkenaan, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan usaha kerajaan mencipta peluang kerja baharu yang menawarkan gaji yang tinggi adalah untuk menyamai kos sara hidup kini.
“Maka ini, para pekerja haruslah dipadankan dengan kemahiran dan produktiviti mereka untuk memenuhi keperluan yang disediakan,” tegasnya.
Tegas beliau, Kerajaan Sarawak telah menyediakan laluan termasuk pengenalan kepada pendidikan percuma, pengenalan kepada teknologi moden, digitalisasi serta kursus-kursus khas untuk anak-anak Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap kumpulan yang dimanfaatkan ini dapat menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk memperluaskan ekonomi dan perkhidmatan yang ada di negeri ini. -EDISI UKAS