Keistimewaan Pekerja Sarawak Terus Dipertahankan Berlandaskan Undang-Undang
KUCHING: Keistimewaan pekerja di negeri ini akan terus dipertahankan berlandaskan undang-undang sah demi memastikan kebajikan mereka terus terjaga, sesuai dengan perubahan terkini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, negeri ini telah meluluskan pindaan untuk menggabungkan keistimewaan pekerjanya di bawah Ordinan Buruh Sarawak dengan Akta Persekutuan.
“Kita bersama-sama mencantumkan keistimewaan Sarawak di bawah Ordinan Buruh Sarawak dengan Akta Persekutuan agar hak serta keistimewaan pekerja di Sarawak terus dipertahankan, sambil mengambil kira undang-undang negara serta piawaian ‘International Labour Organization’ (ILO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Ahad.
Premier Sarawak menambah, pengenalan kepada Akta Pekerja Gig secara langsung turut melindungi pekerja yang melibatkan penggunaan teknologi digital, selari dengan transformasi Sarawak ke arah ekonomi digital.
Dalam majlis yang sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di samping menyampaikan Anugerah Pekerja Cemerlang para penerima.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Pengerusi Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak Datuk Gerawat Gala, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS