JobSarawak Dilancar, Sedia Data Pasaran Buruh Secara Masa Nyata
KUCHING: Kerajaan Sarawak melancarkan platform digital JobSarawak sebagai langkah memperkukuh sistem padanan pekerjaan serta menyediakan data pasaran buruh secara masa nyata selaras dengan keperluan ekonomi semasa dan agenda transisi ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, platform tersebut dibangunkan susulan peningkatan ketara peluang pekerjaan dan kekosongan jawatan hasil perkembangan ekonomi Sarawak ketika ini.
Menurut beliau, Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) turut berjaya membangunkan satu papan pemuka (dashboard) yang memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai situasi pekerjaan serta keperluan tenaga kerja mengikut bidang yang diperlukan majikan di Sarawak.
“Kita berkehendakan beberapa kepakaran. Tadi disebutkan pekerja yang ada latihan peningkatan kemahiran termasuklah mereka dalam bidang PhD, ekonomi atau pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Saya berasa bahawa untuk sasaran kita pada tahun 2030 dan seterusnya, kerana kita dalam transisi ekonomi termasuklah mengenai pekerjaan aeroangkasa yang sedang kita kaji sekarang dan juga bidang cip, dan ini sudah tentu akan mewujudkan pekerjaan mahir dalam bidang-bidang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan menerusi JobSarawak jauh lebih komprehensif berbanding sistem terdahulu kerana mampu menyediakan data yang lebih tepat dan diperlukan dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang seiring dengan misi transisi ekonomi Sarawak.
Tambah beliau, sistem bersepadu itu turut memperkukuh hubungan antara kerajaan dan majikan, selain memudahkan rakyat Sarawak mengakses maklumat kekosongan jawatan serta memohon pekerjaan secara terus melalui platform berkenaan.
Terdahulu, Premier Sarawak turut menyempurnakan simbolik pelancaran JobSarawak sempena sambutan tersebut.- EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery