KUCHING: Langkah berani Sarawak meneroka ekonomi hidrogen kini mula membuahkan hasil apabila harga seliter hidrogen dilaporkan lebih murah berbanding diesel, sekali gus membuktikan strategi peralihan tenaga hijau negeri ini berada di landasan tepat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, meskipun inisiatif memperkenalkan hidrogen sebelum ini pernah menerima pelbagai kritikan dan keraguan, perkembangan ekonomi semasa menunjukkan negeri ini tidak boleh terus bergantung kepada satu sumber tenaga sahaja.
“Sewaktu saya memperkenalkan hidrogen dahulu, saya terima kecaman dengan pandangan yang meragukan kerana ramai yang sangsi bahawa harga hidrogen jauh lebih mahal.
“Saudara-saudari, tengoklah hari ini di mana harga diesel kalau dibandingkan dengan hidrogen, satu liter hidrogen lebih murah daripada diesel,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kejayaan tersebut membuktikan bahawa keberanian untuk meneroka teknologi dan sumber ekonomi baharu mampu membuka peluang lebih besar kepada masa depan Sarawak.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyeru anak-anak Sarawak supaya berani mencabar kebiasaan dan merebut peluang baharu yang muncul seiring perubahan landskap ekonomi global.
“Kita mesti berani dan saya tahu anak-anak Sarawak sememangnya berani, tetapi beraninya jangan berani sembarangan sebaliknya menggunakan akal minda dengan mengambil ‘calculated risk’ dan rasional,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, pendekatan berani tetapi berasaskan pertimbangan strategik itu penting bagi memastikan Sarawak terus kekal kompetitif serta mampu muncul sebagai peneraju ekonomi hijau dan tenaga masa depan di rantau ini.-EDISI UKAS