Majlis Berjarah Aidilfitri Subis Perkukuh Perpaduan Komuniti Setempat
NIAH: Penganjuran Majlis Berjarah Sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 Daerah Subis terus menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya setempat sambil memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.
Majlis yang berlangsung meriah di Dewan Terbuka Sepupok, Niah pada Jumaat itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pengunjung daripada komuniti sekitar Subis dan Niah, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian yang utuh dalam kalangan masyarakat.
Menyempurnakan majlis berkenaan ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Program anjuran Pejabat Daerah Subis dengan kerjasama Persatuan Tradisi Warisan dan Kebudayaan Niah (NATHAC) itu turut melibatkan pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Kecil Niah, KMKK Daerah Subis dan Niah serta jawatankuasa penganjur.
Penganjuran majlis ini bertujuan memelihara adat “berjarah” sebagai warisan budaya masyarakat setempat di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung dan komuniti setempat.
Sebanyak 19 khemah raya daripada pelbagai kampung dan organisasi sekitar Niah dan Subis mengambil bahagian dengan menampilkan konsep dekorasi tradisional Aidilfitri, juadah tempatan serta identiti budaya masing-masing.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pertunjukan silat oleh Persatuan Silat Sendeng Spring Segerdam 12 Niah, persembahan tarian oleh Maskarsari Cultural Troupe, aktiviti berjarah khemah-khemah raya, penyampaian hadiah dan cenderamata serta cabutan bertuah.
Selain itu, pertandingan khemah tercantik serta pertandingan busana terbaik kategori dewasa dan kanak-kanak turut diadakan, sekali gus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat.
Hadir sama, Wakil Residen Bahagian Miri, Ashard Samshu, Pegawai Daerah Subis merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa, Norlila Ulis, Penghulu Dr Wan Pauzi Wan Ahmad selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis Berjarah, Pemanca Dr Ali Mudin serta Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.-EDISI UKAS