Projek SSLR Fasa 2 Medamit Pacu Keterhubungan Utara Sarawak
LIMBANG: Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 di kawasan Medamit terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan, sekali gus dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh jaringan perhubungan strategik di utara Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan semasa projek tersebut selepas melakukan tinjauan lapangan baru-baru ini.
“Baru-baru ini saya sempat turun padang ke kawasan ini dan menyeberang menggunakan jambatan baharu di hadapan. Alhamdulillah, projek tersebut kini sedang berjalan dengan baik. Saya juga berkesempatan melihat sendiri kemajuan pembinaan jalan di kawasan seberang, yang kini telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bazaar Gawai Agro Tamu Medamit 2026, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, projek SSLR Fasa 2 bakal menghubungkan Nanga Medamit ke Taman Negara Gunung Mulu, Long Luping dan Ba’kelalan, sekali gus menyediakan laluan darat terus antara Miri dan Limbang tanpa perlu melalui negara jiran.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Tamu Medamit atas kejayaan menganjurkan Tamu Medamit yang kini memasuki tahun ke-10 penganjurannya.
Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan semua pihak termasuk peniaga, pengusaha dan agensi kerajaan yang sentiasa memberikan kerjasama padu.
“Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang dibuat oleh ahli jawatankuasa, walaupun 10 tahun itu merupakan suatu jangka masa yang agak panjang juga,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan sesuatu program bukan sahaja bergantung kepada aspek pelaksanaan, malah dipengaruhi oleh keikhlasan serta kesungguhan semua pihak dalam memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap jawatankuasa berkaitan terus memperkasa penganjuran pelbagai aktiviti di Medamit dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Majlis Daerah dan Pejabat Daerah, di samping penglibatan sektor swasta.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa penganjuran program seumpama itu bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat melalui penyertaan penduduk dari pelbagai kawasan di daerah Limbang dan sekitarnya.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise, wakil Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Mary Katok, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Matlamat Pembangunan Mampan Majlis Daerah Limbang, Henry Madai, Pengerusi Bazaar Gawai Agro Tamu Medamit 2026, Rumai Sanggau serta Pemanca Robert Kunyu Anggau.-EDISI UKAS