Seni Kuntau Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan Budaya Sarawak
MIRI: Seni kuntau yang merupakan warisan tradisional masyarakat Iban berpotensi diketengahkan sebagai antara produk pelancongan budaya utama Sarawak dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, seni mempertahankan diri tradisional itu bukan sahaja melambangkan identiti budaya masyarakat tempatan, malah mempunyai nilai warisan tinggi untuk dipromosikan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, usaha memelihara dan memperkasakan seni kuntau perlu diteruskan agar warisan tersebut tidak hilang ditelan peredaran zaman khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kuntau adalah sebahagian daripada identiti budaya kita. Sama seperti seni ngajat, sape, betabuh dan gendang pampat, ia merupakan warisan asal yang harus terus dipelihara dan dibanggakan.
“Pelancong yang datang ke Sarawak mahu melihat keunikan budaya masyarakat tempatan dan kuntau mempunyai potensi besar untuk dijadikan tarikan pelancongan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Kuntau sempena Gawai Bazaar dan Ethnocultural Festival bagi Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2026 di Bandar Baru Permyjaya pada Sabtu.
Pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 104 peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak termasuk Sri Aman, Kanowit, Julau, Kapit, Bintulu, Sibu dan Miri.
Dalam pada itu, Datuk Snowdan turut menggalakkan persatuan kuntau serta pertubuhan kebudayaan memanfaatkan dana khas yang disediakan kementerian bagi melaksanakan program pemeliharaan budaya seperti kelas, bengkel dan latihan seni warisan.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta setiap tahun bagi menyokong pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk tarian tradisional, seni anyaman, pembuatan pua kumbu, betabuh dan seni kuntau.
Beliau berkata, persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan mempunyai akaun rasmi boleh memohon geran antara RM30,000 hingga RM70,000 bagi melaksanakan program berkaitan.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan geran sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Kuntau Seni Kuntau Pukulan Tujuh Miri bagi membantu pelaksanaan aktiviti persatuan tersebut selain menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kuntau.-EDISI UKAS