Pesta Kebudayaan & Pelancongan Bau Bakal Dimasukkan Dalam Kalendar Visit Malaysia
BAU: Pesta Kebudayaan dan Pelancongan Bau bakal dimasukkan ke dalam kalendar rasmi Visit Malaysia sekali gus diangkat sebagai acara tahunan berimpak tinggi bagi memperkukuh kedudukan daerah itu sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, Tourism Malaysia akan diminta memastikan pesta tersebut terus dipromosikan secara meluas sebagai salah satu produk pelancongan berpotensi untuk jangka panjang.
Menurut beliau, usaha mempromosikan sesuatu destinasi pelancongan perlu disertai dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan pihak berkaitan.
“Kalau kita mahu kawasan ini terus berkembang, kita mesti sentiasa bersedia dari segi kebersihan, kemudahan, layanan dan keseluruhan pengalaman pelawat.
“Tourism Malaysia juga akan membantu dari segi promosi dan publisiti,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kebudayaan dan Pelancongan Bau 2026 di Dewan Datuk Peter Nansian Ngusie, Pusat REDEEMS Bau pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata Bau mempunyai kekuatan tersendiri sebagai kawasan yang kaya dengan sejarah, budaya dan warisan masyarakat yang masih hidup serta diamalkan hingga kini.
“Inilah kekuatan sebenar kawasan ini di mana budaya bukan sekadar persembahan atau pakaian tradisional, tetapi cara masyarakat saling menghormati, hidup bersama dan menjaga hubungan antara satu sama lain.
“Pelancong hari ini bukan hanya mahu melihat tempat menarik, tetapi mahu memahami budaya, melihat kehidupan masyarakat tempatan dan merasai pengalaman sebenar.
“Bau mempunyai kekuatan itu dan perlu terus diperkembangkan dengan baik,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan budaya dan pengalaman komuniti itu amat penting dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk masyarakat setempat yang sentiasa menyokong usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam membangunkan sektor pelancongan.
“Kekuatan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada kerajaan, tetapi juga kepada rakyat yang sanggup bersama-sama menjayakannya,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS