Generasi Muda Perlu Diberi Peluang Pimpin Komuniti
BETONG: Generasi muda perlu diberikan peluang dan ruang untuk memegang tampuk kepimpinan di pelbagai peringkat termasuk di rumah panjang bagi memastikan kesinambungan pembangunan komuniti pada masa depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, golongan belia memiliki potensi, kemahiran serta keperibadian yang mampu membawa komuniti mencapai tahap lebih tinggi.
“Generasi muda harus diberi peluang dan ruang kerana dalam kalangan mereka juga mempunyai keperibadian dan kemahiran untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Merarau sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Biro Wanita Gensurai (Serakup Indu Gensurai Layar) yang berlangsung di Rumah Panjang Gensurai, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Gerald turut memuji semangat kerjasama dan ketabahan Biro Wanita Gensurai yang kini telah melangkah ke generasi ketiga sejak penubuhannya 25 tahun lalu.
Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan bahawa semangat perpaduan dan kerjasama dalam komuniti mampu memastikan sesebuah organisasi terus kukuh serta relevan dalam pembangunan masyarakat setempat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu menyeru agar biro wanita terus memperkasakan diri dalam bidang teknologi maklumat dan pemasaran digital menerusi latihan yang disediakan di institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
"Sebagai biro wanita, tugas yang anda mainkan amat penting dalam menambahkan pendapatan ekonomi keluarga kita masing-masing dengan memanfaatkan ruang dan peluang yang sedia ada,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan kepada biro wanita, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Gensurai untuk meneruskan aktiviti kraf tangan.
Majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama Biro Wanita Gensurai itu berjaya menghimpunkan masyarakat daripada 47 rumah panjang dengan sebanyak 92 meja berjaya dijual sepanjang program berkenaan.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Abunawas serta Pegawai Daerah Betong Laga Kueh.-EDISI UKAS