Kursus Bakeri dan Pastri Perkasa Ibu Tunggal Jana Pendapatan
MIRI: Usaha memperkasa golongan ibu tunggal melalui latihan kemahiran terus diperkukuh menerusi penganjuran Kursus Pembuatan Bakeri dan Pastri yang memberi nilai tambah kepada peningkatan taraf ekonomi komuniti setempat.
Seramai 72 peserta menyertai kursus anjuran Kelab Sosial Kebajikan Harmoni Miri yang berlangsung di Hospitality Foyer, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, pada Ahad.
Majlis penutupan kursus tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak IKBN Miri atas kerjasama strategik dalam menjayakan program yang memberi manfaat khususnya kepada golongan ibu tunggal.
Menurut beliau, inisiatif seumpama itu amat penting dalam membantu peserta memperoleh kemahiran praktikal yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan serta meningkatkan kualiti hidup keluarga.
“Melalui kursus seperti ini, ibu-ibu tunggal dapat mempelajari kemahiran baharu dan seterusnya membantu keluarga mereka. Apa yang penting ialah mereka mampu berdikari,” katanya.
Tambah beliau, IKBN Miri mempunyai kemudahan serta kepakaran dalam bidang hospitaliti dan latihan kemahiran yang mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat melalui penganjuran program seumpama itu.
Selain pembuatan pastri, beliau memaklumkan bahawa golongan ibu tunggal di bawah kelab berkenaan turut didedahkan dengan pelbagai kursus lain termasuk kraftangan dan kemahiran komuniti sebagai usaha memperluas peluang ekonomi.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan platform digital bagi memasarkan produk mereka kepada pasaran lebih luas.
“Selepas mengikuti kursus ini, mereka boleh memasarkan produk secara dalam talian dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, bersempena sambutan Hari Ibu, beliau turut mengagihkan bunga carnation kepada para peserta sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan keluarga.
Beliau berharap kerjasama antara IKBN Miri dan masyarakat akan terus diperkukuh melalui penganjuran lebih banyak program latihan kemahiran pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.
Turut hadir Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKBN Miri, Kaya Raju, Pengerusi Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni Miri Connie Tang serta Penasihat kelab, Deammy Sim.-EDISI UKAS