Sambutan Hari Ibu Sedunia DUN Piasau Disambut Meriah, Santuni Golongan Ibu
MIRI: Sambutan Hari Ibu Sedunia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau diraikan penuh meriah dengan pengagihan bunga sebagai simbol penghargaan kepada golongan ibu, sekali gus menyemarakkan nilai kasih sayang dan penghormatan dalam komuniti setempat.
Sebanyak 300 kuntuman bunga teluki (carnation) diagihkan kepada para ibu dan wanita dalam program yang berlangsung di Open Air Market dan Unity Food Centre, di sini, pada Ahad.
Program tersebut disertai rombongan kaunselor serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Khidmat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau yang turun padang menyantuni pengunjung, khususnya golongan ibu yang hadir ke pasar berkenaan.
Ketua Wanita SUPP Cawangan Piasau, Tan Li Foong berkata, inisiatif tersebut bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Ibu di samping menghargai pengorbanan kaum ibu dalam institusi keluarga dan masyarakat.
“Kami ingin menyampaikan penghargaan kepada para ibu atas segala pengorbanan mereka. Semoga pemberian ini, walaupun kecil, membawa senyuman dan menceriakan sambutan Hari Ibu mereka hari ini,” katanya.
Dalam masa sama, program tersebut turut diserikan dengan pelaksanaan Piasau Mobile Bee Service yang berlangsung dari jam 7.00 hingga 10.30 pagi, menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pendaftaran aduan awam, permohonan Kenyalang Gold Card, S Pay Global, Sarawak ID, Sarawak Pass serta permohonan Senior Citizen Health Benefit (SCHB).
Inisiatif bersepadu itu bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Ibu, malah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan secara terus kepada rakyat.-EDISI UKAS