Masjid Jadi Pusat Ilmu, Kem Sains Cilik Perkasa Minat STEM Murid
ASAJAYA: Peranan institusi masjid kini melangkaui sekadar tempat ibadat apabila ia turut berfungsi sebagai pusat pembangunan modal insan dan penyebaran ilmu melalui penganjuran program pendidikan komuniti.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambirat Hajiah Jas berkata, kolaborasi erat antara pihak sekolah dan institusi masjid adalah satu langkah yang amat dihargai dalam usaha memupuk daya kreatif serta kritis dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah rendah.
"Masjid bukan sahaja tempat beribadat, malah hari ini ia membuktikan peranannya sebagai pusat ilmu dan pembangunan modal insan untuk anak-anak kariah kita," katanya semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Program Pembelajaran Berasaskan Komuniti (PBK): Kem Sains Cilik 2026 di Masjid Al-Abrar Kampung Tambirat Tengah pada Ahad.
Tambahnya, program tersebut yang berlangsung selama dua hari telah berjaya menarik minat murid-murid SK Tambirat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ujarnya, program ini merupakan platform terbaik untuk mendedahkan murid kepada elemen STEM secara santai dan menyeronokkan menerusi aktiviti penerokaan serta eksperimen amali, berbanding sekadar teori di dalam bilik darjah.
Jelasnya, mendalami bidang sains ini bukan sahaja dengan membaca buku teks namun ia perlu menjalankan eksperimen dan penerokaan agar anak-anak lebih mudah memahami apa yang dipelajari.
"Melalui aktiviti luar bilik darjah seperti ini, murid-murid bukan sahaja belajar teori, malah dapat meneroka ilmu dengan cara yang menyeronokkan," tambah beliau. -EDISI UKAS