Dasar Inklusif Pacu Sarawak Sebagai Model Keharmonian
MIRI: Sarawak terus menjadi contoh terbaik perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini hasil kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menekankan pendekatan inklusif serta pembangunan untuk semua rakyat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, semangat kebersamaan itu menjadi kekuatan paling bernilai yang dimiliki rakyat Sarawak dan antara faktor utama negeri ini diiktiraf sebagai model perpaduan.
Menurut beliau, kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg yang mempunyai wawasan jelas serta hala tuju tersusun memberi keyakinan kepada rakyat terhadap masa depan negeri ini.
"Kita melihat sebab-sebab mengapa ya, mengapa Sarawak boleh menjadi model perpaduan. Saya melihat satu daripada sebabnya ialah kepimpinan yang sedia ada. Kepimpinan Premier Sarawak dapat menyatukan rakyat.
"Sarawak amat bertuah kerana kita mempunyai seorang pemimpin yang mempunyai wawasan yang jelas. Misi dan visinya sangat jelas. Kita sebagai rakyat tahu ke mana hala tuju kita nak dibawa oleh beliau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Perpaduan Peringkat Sarawak di Perkarangan Tempat Letak Kereta Boulevard Mall di Miri pada Ahad.
Dato Sri Fatimah menambah, di bawah kepimpinan beliau Sarawak mencatat kemajuan yang pesat melalui pembinaan infrastruktur seperti jambatan.
Malah katanya, Sarawak semakin menyerlah di persada antarabangsa khususnya dalam bidang tenaga hijau yang tidak pernah diketahui sebelum ini.
"Lihatlah berapa jambatan yang udah dibina. Ya Rabbi. Macam sik percaya kita. Duluk kita hanya dapat mimpikan tetapi impian kita sudah menjadi kenyataan.
"Dalam bidang tenaga hijau dimana kita tidak tahu Premier Sarawak berkenaan dengan hdirogen, ekonomi digital, inovasi dan juga pembangunan mampan menimbulkan rasa bangga dalam kalangan rakyat Sarawak dan seterusnya dapat menyatukan kita sebagai rakyat Sarawak," jelasnya.
Katanya, pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan GPS dilaksanakan secara inklusif supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan lokasi.
“Kerajaan GPS memastikan tiada rakyat yang terpinggir sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Pendekatan keterangkuman inilah yang mengukuhkan rasa kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut berkata, antara contoh jelas komitmen kerajaan GPS dalam memelihara keharmonian ialah melalui penubuhan Unit for Other Religions (UNIFOR) yang membantu rumah ibadat bukan Islam dari segi pembinaan dan penyelenggaraan.
Selain itu katanya, inisiatif pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri untuk anak Sarawak yang layak turut membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan dapat dinikmati secara adil oleh rakyat.
“Anak Sarawak yang layak terutama dalam bidang STEM kini berpeluang melanjutkan pengajian secara percuma di institusi seperti Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak (UTS), Swinburne University of Technology Sarawak Campus dan i-CATS University College," jelasnya lagi.
Hadir sama Timbalan Menteri Luar Negeri Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid.-EDISI UKAS