Komuniti Pemancing Diseru Amal Konsep Tangkap dan Lepas
BELAWAI: Komuniti pemancing diseru agar mengamalkan konsep tangkap dan lepas sebagai langkah penting dalam memastikan kelestarian sumber perikanan terus terpelihara untuk dinikmati generasi akan datang.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, kesedaran terhadap pemuliharaan ekosistem perikanan perlu dipupuk dalam kalangan pemancing bagi menjamin keseimbangan sumber laut dan sungai dapat dikekalkan secara berterusan.
“Selain menjaga kelestarian sumber ikan, kebersihan kawasan pantai juga perlu diberi perhatian agar persekitaran sentiasa terpelihara.
“Pada masa sama, aspek keselamatan diri juga perlu diutamakan ketika menjalankan aktiviti memancing,” katanya ketika Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing Pantai Belawai 2026 di Pantai Belawai pada Ahad.
Dato Ir Yusuf menambah, penganjuran pertandingan memancing bukan sahaja menyemarakkan budaya rekreasi sihat dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi besar mempromosikan Belawai sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai keindahan pantai semula jadi serta pelbagai produk tempatan khususnya hasil perikanan.
Katanya, program tersebut turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk kampung sekitar termasuk di Belawai, Jerijih dan Rajang menerusi peningkatan kehadiran pengunjung serta permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan.
Pertandingan berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan apabila berjaya menarik penyertaan seramai 278 kaki pancing bukan sahaja dari kawasan setempat malah dari luar termasuk Kuching, Sibu, Sarikei, Matu dan Daro.
Dalam pertandingan yang bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 2 petang itu, johan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala naib johan menerima RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah.-EDISI UKAS