Pembinaan Jejantas Berbumbung SK Nanga Gayau Siap 14 September Depan
BETONG: Projek pembinaan jejantas berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Gayau yang bermula 15 September 2025 dijangka siap sepenuhnya pada 14 September hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek infrastruktur pendidikan ini merupakan salah satu inisiatif penting di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang membiayai dana sebanyak RM2.38 juta.
“Pembinaan jejantas ini merupakan langkah kritikal bagi menjamin keselamatan nyawa murid dan masyarakat setempat yang berhadapan dengan risiko trafik tinggi di Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan projek berkenaan, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan skop kerja utama bagi projek ini melibatkan pembinaan struktur jambatan pejalan kaki baharu sepanjang kira-kira 36.4 meter dengan ketinggian 5.7 meter yang direka khusus untuk kemudahan murid-murid dan warga sekolah.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan segelintir individu yang sanggup meletakkan kenderaan di bahu jalan dan melintas lebuh raya tersebut secara melulu.
Menurutnya, tindakan tidak sabar itu sangat berbahaya memandangkan aliran trafik yang laju di kedua-dua arah, justeru keputusan untuk membina jejantas tersebut dibuat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Hadir sama, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Pegawai Tadbir Menguasa Spaoh Denny Lim dan Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie. -EDISI UKAS