SPAOH: Sebanyak 94 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti dan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan MRP tersebut merangkumi dua komponen utama iaitu sumbangan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita rumah panjang bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek MRP DUN Bukit Saban, di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata beberapa projek pembangunan turut dirancang di kawasan tersebut termasuk projek penanaman kelapa sawit dan lada bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi setiap pintu rumah panjang untuk projek penambahbaikan rumah demi meningkatkan keselesaan penduduk.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu berharap agar bantuan MRP yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya para penerima bagi melaksanakan pelbagai aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada penduduk rumah panjang masing-masing.
Hadir sama, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Pegawai Tadbir Menguasa Spaoh Denny Lim dan Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie. -EDISI UKAS