Kuil Dewa Chen Chin Tai Tee Berpotensi Jadi Mercu Tanda Baharu Siburan
SIBURAN: Kuil Dewa Chen Chin Tai Tee di sini berpotensi menjadi mercu tanda baharu serta pusat penyatuan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Siburan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap ADUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata pembangunan kuil tersebut daripada sebuah pondok kecil kepada bangunan yang lebih besar dan tersusun hari ini membuktikan semangat kerjasama serta komitmen tinggi masyarakat setempat dalam memelihara warisan budaya dan perpaduan komuniti.
“Bangunan kuil ini bukan sahaja penting kepada masyarakat Cina di Siburan, malah menjadi simbol kebersamaan dan warisan budaya yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Keputeraan Dewa Chen Chin Tai Tee serta Perarakan Tandu Suci di sini pada Ahad.
Beliau berkata, sokongan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) turut membantu mempercepat pembangunan serta penambahbaikan prasarana kuil tersebut.
ADUN Mambong itu turut menambah Siburan kini semakin berkembang sebagai kawasan satelit berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran Kuching dan Samarahan.
Katanya, kerajaan turut memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di kawasan itu termasuk memperuntukkan RM5 juta di bawah Projek Rakyat Khas Premier bagi menaik taraf Dewan Serbaguna Siburan sebagai pusat perhimpunan utama komuniti.
Selain itu, Pejabat Daerah Siburan akan dinaik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, manakala RM2 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem perparitan di Lorong 1 serta beberapa kawasan kampung pedalaman bagi mengurangkan masalah banjir.
Beliau turut memaklumkan bahawa kemudahan latihan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Siburan kini dinaik taraf melalui peruntukan RM2 juta bagi memperkukuh perkhidmatan kepada kanak-kanak kurang upaya.-EDISI UKAS