Kemudahan Perniagaan Perlu Disedia Sepanjang Laluan Infrastruktur Strategik
KUCHING: Kemudahan perniagaan termasuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta tapak perniagaan di sepanjang laluan projek infrastruktur strategik perlu disediakan bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan pesat infrastruktur seperti pembinaan jambatan utama, Jalan Pesisir, Link Road Sabah-Sarawak dan jalan penghubung ke Brunei bukan sahaja meningkatkan jaringan perhubungan, malah mampu merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
“Dalam hubungan ini, kemudahan perniagaan termasuk R&R, tapak perniagaan di laluan-laluan tersebut, perlu disediakan.
“Selari dengan itu, Kerajaan perlu memberi latihan keusahawanan dan bantuan kewangan juga perlu disediakan kepada yang berminat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berkata, pembangunan keusahawanan luar bandar, industri kecil dan sederhana (IKS) serta ekonomi digital perlu terus diperkukuh bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar.
Justeru, beliau menggesa kerajaan turut membantu aspek pemasaran produk tempatan melalui pewujudan pusat pengumpulan, pengedaran dan pemprosesan selain menyediakan ruang niaga strategik bagi memperluas rangkaian jualan hasil kampung.
Sementara itu, beliau turut menekankan potensi besar sektor agro-pelancongan dan eko-pelancongan berasaskan budaya serta khazanah alam semula jadi Sarawak yang masih belum diterokai sepenuhnya.
Ujarnya, program promosi di peringkat nasional dan antarabangsa perlu dipertingkat selain memperbanyakkan penyediaan inap desa serta latihan kepada pengendali dan pemandu pelancong tempatan bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar.
Selain itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak berkata, pemodenan sektor pertanian juga perlu dipercepat menerusi penggunaan automasi, jentera moden, teknologi pertanian pintar, sistem fertigasi dan dron pertanian bagi meningkatkan daya saing hasil tani.
Beliau menegaskan bahawa warisan budaya pelbagai etnik di Sarawak perlu terus dipelihara dan didokumentasikan supaya identiti, bahasa serta adat resam masyarakat tempatan tidak hilang ditelan arus pembangunan moden.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menggesa kerajaan supaya terus memberi perhatian terhadap isu kos sara hidup di kawasan luar bandar selain memperluaskan akses internet dan kemudahan komunikasi berkualiti agar rakyat tidak tercicir daripada arus pendidikan dan ekonomi digital.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang