Penerokaan Industri Aeroangkasa & Teknologi Tinggi Pendekatan Strategik Bangunkan Ekonomi Sarawak
KUCHING: Langkah Sarawak meneroka industri aeroangkasa dan teknologi tinggi dilihat sebagai pendekatan strategik jangka panjang yang mampu membuka dimensi baharu kepada pembangunan ekonomi negeri.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan sektor berteknologi tinggi itu berpotensi besar mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya kepada golongan profesional dan tenaga kerja mahir tempatan.
Menurut beliau, industri aeroangkasa bukan sahaja melibatkan penyelenggaraan pesawat, malah merangkumi pelbagai cabang strategik termasuk pengeluaran bahan ganti, teknologi satelit, teknologi dron serta ekonomi digital.
“Di samping itu, Sarawak juga akan menguasai, menyimpan data dan maklumat Kerajaan serta peribadi untuk keselamatan dan kepentingan Sarawak dan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, kementerian berkaitan, badan profesional dan sektor industri dalam usaha membangunkan bakat tempatan yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“Dalam hubungan ini, kementerian dan agensi berkaitan pembangunan bakat khususnya Institusi Pengajian Tinggi dan TVET, tidak boleh bergerak secara bersendirian atau memandang ringan amanah yang telah diberikan.
“Sebaliknya, perlu menjalin kerjasama strategik dengan pihak industri, badan pengguna, tenaga profesional serta pekerja berkemahiran tinggi perlu diperkasa supaya latihan, kemahiran dan kepakaran yang dibangunkan benar-benar mampu memenuhi keperluan industri,” jelasnya.
Tambah beliau, kejayaan Sarawak dalam bidang aeroangkasa, tenaga hijau dan ekonomi digital bukan hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, tetapi turut dipacu keupayaan negeri melahirkan tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS