Undang-Undang, Prosedur Perlu Disesuaikan Dengan Perkembangan Teknologi dan AI
KUCHING: Undang-undang, peraturan dan prosedur sedia ada perlu dinilai serta disesuaikan dengan perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong transformasi pentadbiran serta keperluan pembangunan semasa di Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan sistem pentadbiran kerajaan kekal relevan, cekap dan mampu memenuhi tuntutan perubahan teknologi semasa.
“Dalam dunia yang dipacu oleh teknologi digital dan AI, undang-undang, peraturan dan prosedur sedia ada juga perlu dinilai dan diubah suai agar mampu menyokong keperluan pembangunan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Menurut Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, tadbir urus yang baik, efisien dan sistematik merupakan asas penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri.
Ujarnya, sistem penyampaian perkhidmatan awam serta sistem perolehan kerajaan juga perlu terus diperkemas supaya lebih cekap, pantas dan selari dengan keperluan pembangunan semasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, komitmen penjawat awam di semua peringkat merupakan kunci utama dalam memastikan segala dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sempurna.
“Saya menyeru seluruh anggota penjawat awam negeri agar sentiasa mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi, bertindak dengan lebih pantas, proaktif dan mempunyai rasa keutamaan dan tindakan segera “sense of urgency” dan “sense of ownership” dalam memastikan agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan serta mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang