Rakyat Sarawak Diseru Pertahan Keharmonian Kaum dan Agama
BINTULU: Semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum serta agama perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing berkata, rakyat perlu membuka hati menerima perbezaan budaya dan kepercayaan dalam masyarakat majmuk.
Menurut beliau, sikap bertolak ansur dan saling memahami menjadi asas penting dalam mengekalkan perpaduan khususnya di Sarawak yang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Negara kita sebuah negara berbilang kaum dan agama. Paling mustahak, semua kaum dan agama mesti bertolak ansur.
“Kalau kita boleh bersama-sama membuka hati menerima kaum dan agama lain, barulah kita dapat mencapai perpaduan dan keharmonian di negara kita,” katanya ketika berucap dalam majlis Pengerami Mantar Gawai Dayak 2026 anjuran Komuniti Samalaju di Restoran Dinnerworld di sini pada Ahad.
Beliau berkata, sambutan pelbagai kaum termasuk masyarakat Melayu dan Islam dalam majlis tersebut membuktikan semangat saling menghormati dan perpaduan di Sarawak masih kukuh.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memainkan isu sensitif berkaitan kaum dan agama yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Pada majlis sama, Dato Sri Tiong yang juga Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) turut mengakui kekangan masa menyebabkan beliau kurang turun ke kawasan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Namun katanya, komitmen terhadap kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Bintulu tetap menjadi keutamaan meskipun mempunyai jadual tugas yang padat.
“Saya tahu dalam dua atau tiga tahun ini saya kurang masuk kawasan, bukan saya tidak mahu masuk, tetapi masa saya benar-benar tidak mencukupi.
“Sebab itu saya minta ketua politik dan semua ketua bahagian membantu saya ‘berpusing’ di seluruh kawasan Bintulu untuk menjalankan tugas kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua-ketua bahagian serta ahli-ahli yang membantu menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat sepanjang ketiadaannya di kawasan.-EDISI UKAS