Kesejahteraan Rakyat Perlu Diutamakan Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi Global
KUCHING: Kesejahteraan rakyat mesti terus menjadi agenda utama dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi ketegangan geopolitik serta perubahan landskap ekonomi antarabangsa.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, situasi global semasa memberi impak langsung terhadap kestabilan pasaran dunia dan rantaian bekalan antarabangsa, sekali gus memberi tekanan kepada kehidupan rakyat.
Menurut beliau, kesan ketidaktentuan tersebut dapat dilihat menerusi peningkatan kos sara hidup, harga makanan, kos pengangkutan serta cabaran terhadap ekonomi isi rumah.
“Dalam menghadapi cabaran global yang berterusan, semua pihak perlu memperkukuh kerjasama, meningkatkan produktiviti dan mempercepat usaha membangunkan ekonomi supaya lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.
“Pada masa yang sama, kesejahteraan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan supaya tiada ada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Isnin.
Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas pelbagai langkah dan inisiatif kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat.
Malah jelas beliau, usaha Datuk Patinggi Abang Zohari membolehkan Sarawak masih mampu mengekalkan kestabilan ekonomi, hasil pengurusan kewangan yang berhemah, dasar pembangunan yang jelas serta pentadbiran yang cekap.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Datuk Patinggi Abang Zohari, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS