Transisi Tenaga Bersih Pastikan Keterjaminan Tenaga Mampan & Berdaya Saing
KUCHING: Pendekatan Sarawak dalam transisi tenaga bersih menjadi usaha penting dalam memastikan keterjaminan tenaga yang mampan dan berdaya saing.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penggunaan tenaga bersih seperti hidro, solar, biotenaga dan teknologi bahan api rendah karbon bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah membuka peluang ekonomi baharu serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Sarawak.
“Sebagaimana yang kita ketahui, negara-negara maju termasuk dari negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun, Korea Selatan memberi penekanan terhadap pengunaan tenaga hijau yang boleh diperbaharui.
“Pembangunan rendah karbon juga berpotensi menjadikan Sarawak sebagai destinasi strategik pelaburan, kerjasama teknologi dan pembangunan industri tenaga bersih pada masa hadapan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau turut memberikan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas lawatan kerja yang berjaya ke United Kingdom dan Ireland baru-baru ini.
Menurut Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, usaha kepimpinan tertinggi Sarawak ini secara langsung membuka peluang pembangunan ekonomi baharu, kerjasama strategik dalam bidang teknologi tinggi, pelaburan masa hadapan, ekonomi digital dan pembangunan modal insan.
“Sarawak perlu terus memperkasa dan mempertingkatkan momentum kekuatan dan pengiktirafan yang dimiliki untuk muncul sebagai hab tenaga bersih yang boleh diperbaharui untuk menarik ramai lagi minat dan pelaburan daripada pelabur di peringkat serantau dan antarabangsa,” tegas beliau.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Datuk Patinggi Abang Zohari, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS