Sarawak Pacu Industri Hidrogen Hijau, Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Tenaga Bersih
KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh pembangunan ekonomi hidrogen hijau menerusi pelaksanaan Polisi Peralihan Tenaga Sarawak dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak dalam usaha menjadikan negeri itu hab tenaga bersih serantau.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pembangunan industri hidrogen di negeri ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berfasa melibatkan keseluruhan rantaian nilai daripada pengeluaran sehingga kepada penggunaan domestik serta potensi eksport pada masa depan.
Menurut beliau, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bersama China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd. kini sedang membangunkan Kuching Low Carbon Gas Hub yang bakal menjadi komponen penting dalam pembangunan industri tenaga rendah karbon termasuk hidrogen dan produk derivatifnya.
Katanya, pembangunan projek metanol rendah karbon oleh Sarawak Petchem turut memperlihatkan kesediaan Sarawak membangunkan ekosistem hidrogen yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Usaha bersepadu ini sekali gus meningkatkan keyakinan global terhadap kemampuan Sarawak untuk mendapatkan perjanjian pengambilan jangka panjang bagi produk hidrogen yang dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh permintaan domestik melalui pelaksanaan projek pemangkin seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang akan menggunakan Autonomous Rapid Transit (ART) serta bas pengantara berkuasa hidrogen.
Beliau berkata, penggunaan hidrogen bagi projek berkenaan dijangka meningkat secara berperingkat iaitu satu tan sehari menjelang suku pertama 2027 sebelum meningkat kepada dua tan sehari pada 2029 dan lima tan sehari pada 2032.
Selain sektor pengangkutan, katanya hidrogen hijau turut mempunyai potensi besar dalam penjanaan elektrik dan haba serta penghasilan produk hiliran bernilai tinggi seperti ammonia hijau, metanol dan bahan api sintetik.
Tambah beliau, penggunaan hidrogen hijau juga mampu membantu usaha penyahkarbonan industri termasuk sektor pemprosesan logam dan pembuatan kaca selaras dengan agenda pembangunan ekonomi rendah karbon Sarawak. - EDISI UKAS