Hak Milik Strata Taman Flora Indah Masih Dalam Semakan Teknikal
KUCHING: Proses semakan teknikal yang masih berjalan menjadi faktor utama pengeluaran surat hak milik strata bagi Taman Flora Indah di Jalan Arang, Batu Kitang belum dapat dimuktamadkan setakat ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek tersebut kini berada di peringkat teknikal Type B Survey (Stage 2) yang memerlukan penelitian terperinci oleh Jabatan Tanah dan Survei sebelum sebarang kelulusan dapat diberikan.
Menurut beliau, bagi Taman Flora Indah 2 yang melibatkan Lot 3848 Blok 128 Kuching North Land District, dokumen Type B Survey telah diterima daripada pihak perunding dan kini dalam proses semakan oleh Jabatan Tanah dan Survei.
“Bagi Taman Flora Indah 1 yang melibatkan Lot 3847 Blok 128 Kuching North Land District serta Taman Flora Indah 3 melibatkan Lot 3849 Blok 128 Kuching North Land District, kedua-duanya masih berada di peringkat Type B Survey (Stage 2) yang sedang dimuktamadkan oleh jurukur perunding,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menjawab soalan tambahan berkaitan usaha kerajaan meningkatkan pematuhan pemaju dan perunding terhadap keperluan teknikal hak milik strata, Datuk Len Talif berkata beberapa langkah telah dilaksanakan termasuk sesi libat urus berkala, penyediaan garis panduan standard serta taklimat teknikal kepada pihak berkepentingan.
Katanya, inisiatif tersebut bertujuan memastikan pematuhan terhadap Strata Subsidiary Titles Ordinance 2019 selain mengurangkan kesilapan dokumentasi dan mempercepatkan proses semakan permohonan strata.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan faktor utama kelewatan pengeluaran hak milik strata adalah disebabkan kegagalan pemaju menyiapkan pengukuran skim strata dalam tempoh ditetapkan termasuk isu dokumen tidak lengkap, perubahan reka bentuk selepas pelan diluluskan serta kelewatan pembayaran pengukuran.
Menurut beliau, masalah struktur bangunan yang menceroboh sempadan lot serta kelewatan pengeluaran hak milik parent lot akibat ketidakpatuhan syarat perancangan dan pembayaran premium turut menjejaskan kelancaran proses permohonan strata di negeri ini. - EDISI UKAS