Sarawak Perkukuh Sokongan Warga Emas Menjelang Negeri Menua 2028
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sistem sokongan dan penjagaan warga emas menerusi pengoperasian 38 pusat komuniti di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi status negeri menua menjelang 2028.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus berkata, setakat ini sebanyak 30 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan lapan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) beroperasi di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kesejahteraan serta penglibatan sosial golongan tersebut.
Menurut beliau, di Bahagian Bintulu, inisiatif itu dilaksanakan menerusi PAWE di Tatau dan PPWE di Bintulu yang menyediakan pelbagai program berstruktur serta perkhidmatan sokongan kepada warga emas.
“Pusat-pusat ini berperanan menggalakkan penuaan aktif, memperkukuh penyertaan sosial dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Datuk Rosey turut memaklumkan kementeriannya mengiktiraf keperluan memperluas perkhidmatan pusat jagaan harian warga emas susulan peningkatan populasi menua di Sarawak.
Katanya, sehingga April 2026, sebanyak 12 pusat jagaan harian warga emas dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian di seluruh Sarawak melibatkan lapan pusat di Kuching, dua di Sibu serta masing-masing satu di Samarahan dan Miri.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan penglibatan lebih banyak NGO, organisasi swasta dan individu khususnya di Bahagian Bintulu untuk menubuhkan pusat jagaan harian warga emas serta memperluas perkhidmatan sokongan berasaskan komuniti.
Menurutnya, kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam memastikan kesejahteraan, maruah dan keterangkuman sosial warga emas di Sarawak terus terpelihara. –EDISI UKAS