Penubuhan Lembaga Padi Dan Beras Sarawak Perkasa Pesawah
KUCHING: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak dilihat mampu memperkasa petani sekali gus meningkatkan ekonomi kepada tulang belakang bekalan makanan terpenting di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pesawah padi memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan kepada rakyat Sarawak namun ramai dalam kalangan mereka masih berdepan kesukaran ekonomi.
Justeru katanya, penubuhan lembaga tersebut akan menyediakan sistem sokongan yang lebih tersusun dan menyeluruh kepada pesawah padi di Sarawak dari segi subsidi dan insentif, akses kepada teknologi moden, program latihan dan pembangunan kapasiti, menambah baik sistem pengairan dan saliran serta membantu dalam pemasaran serta pengedaran.
"Langkah ini akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani secara langsung.
"Lebih penting lagi, ia akan menggalakkan generasi muda untuk menceburi sektor pertanian," katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi Dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dato Rolland memberitahu, ramai golongan muda hari ini meninggalkan kawasan luar bandar kerana melihat sektor pertanian sebagai tidak menguntungkan dan memerlukan tenaga kerja yang tinggi.
Ujarnya, melalui pemodenan, inovasi dan sistem sokongan yang lebih baik, lembaga ini mampu mentransformasikan penanaman padi menjadi sektor ekonomi yang lebih menarik dan mampan sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian di Sarawak pada masa hadapan.
Selain itu jelasnya, salah satu impak paling bermakna hasil penubuhan lembaga ini ialah potensinya dalam mengurangkan kemiskinan di kawasan luar bandar.
Katanya, banyak lagi komuniti pesawah padi terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih mempunyai peluang ekonomi terhad.
"Dengan meningkatkan produktiviti pertanian dan pendapatan petani, lembaga ini mampu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti luar bandar," jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini