RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak langkah strategik jamin bekalan makanan
KUCHING: Sarawak perlu mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan beras import susulan ketidaktentuan rantaian bekalan makanan global yang semakin mencabar ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, faktor perubahan iklim, konflik geopolitik, peningkatan kos import serta gangguan rantaian bekalan dunia menuntut Sarawak memperkukuh kawalan dan pembangunan industri padi serta beras negeri.
Menurut beliau, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi Dan Beras Sarawak 2026 merupakan langkah strategik dalam memastikan keterjaminan makanan dan kelangsungan bekalan beras negeri untuk jangka panjang.
“Kita telah menyaksikan beberapa negara mula mengehadkan eksport makanan mereka bagi melindungi bekalan domestik masing-masing.
“Dalam keadaan ini, Sarawak tidak boleh terus bergantung secara berlebihan kepada bekalan beras import,” katanya semasa membahaskan RUU Lembaga Padi Dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Ir Christopher Gira berkata, isu keselamatan makanan kini bukan lagi sekadar isu pertanian, sebaliknya melibatkan soal kedaulatan, keselamatan strategik dan kestabilan ekonomi negeri.
Beliau berkata, lembaga berkenaan bakal memainkan peranan penting dalam merancang pembangunan industri padi dan beras, mengurus dana, menyediakan pinjaman, melaksanakan pelaburan serta membangunkan kawasan pembangunan padi di Sarawak.
Katanya, langkah tersebut juga selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang memberi penekanan terhadap keterjaminan makanan, pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi inklusif.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan mempercepat pemodenan sektor pertanian khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi penggunaan teknologi pintar, sistem pengairan moden, mekanisasi serta penyelidikan benih padi berkualiti tinggi.
Menurutnya, penglibatan golongan belia dalam sektor agro moden juga perlu diperkasa melalui latihan teknologi pertanian, skim agropreneur muda dan pembangunan keusahawanan berasaskan inovasi.
Ir Christopher Gira turut menekankan keperluan tadbir urus yang telus dan berintegriti memandangkan lembaga tersebut bakal diberikan kuasa kewangan dan pelaburan yang besar.-EDISI UKAS