RTP DUN Simunjan Fokus Tangani Banjir, Hakisan di Zon 4 Rangawan
SADONG JAYA: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Simunjan terus diberi perhatian apabila satu lawatan dan siasatan awal tapak melibatkan beberapa projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) diadakan di Zon 4 Rangawan pada Isnin.
Lawatan tersebut melibatkan pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan, Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pusat Khidmat DUN Simunjan serta ketua-ketua kaum kampung yang terlibat.
Antara lokasi yang terlibat ialah Kampung Sungai Putin, Kampung Rangawan Hilir, Kampung Rangawan Hulu, Kampung Sungai Bundong, Kampung Sungai Buluh dan Kampung Rangkang.
Lawatan itu bertujuan meninjau keadaan semasa tapak projek selain mengenal pasti keutamaan kerja yang perlu dilaksanakan terutama di kawasan yang sering berdepan masalah banjir kilat, hakisan tebing sungai dan sistem saliran kurang sempurna ketika musim hujan.
Antara cadangan projek yang dikenal pasti termasuk pembinaan serta naik taraf sistem perparitan, kerja perlindungan tebing sungai menggunakan gabion dan penambahbaikan infrastruktur saliran sedia ada.
Penduduk kampung turut mengambil peluang menyuarakan pandangan serta cadangan bagi memastikan projek yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan komuniti setempat dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk.
Pelaksanaan projek RTP tersebut diharap dapat membantu meningkatkan sistem saliran, mengurangkan risiko banjir dan hakisan selain memberi keselesaan serta keselamatan kepada masyarakat di kawasan Zon 4 Rangawan.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat tempatan juga diyakini mampu mempercepatkan pelaksanaan projek demi kesejahteraan serta pembangunan berterusan penduduk di kawasan DUN Simunjan.-EDISI UKAS