RUU Lembaga Padi Dan Beras Sarawak Perlu Penguatkuasaan Kukuh
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak memerlukan penguatkuasaan yang kukuh bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya serta melindungi integriti industri padi dan beras di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang menegaskan, pendakwaan dan penalti adalah perlu untuk melindungi integriti industri padi dan beras.
"Perkara ini amat penting dalam memastikan kawalan kualiti, pengedaran yang sah, piawaian penggredan yang betul, pematuhan kepada peraturan serta pencegahan manipulasi dalam rantaian bekalan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan RUU Lembaga Padi Dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Wilson Nyabong menambah, RUU ini juga tidak hanya bergantung kepada perundangan semata-mata, tetapi juga kepada pelaksanaannya.
Beliau turut menggariskan beberapa keutamaan yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Sarawak bagi memastikan pembangunan industri padi dapat dilaksanakan secara mampan.
Antaranya termasuk penyediaan infrastruktur lengkap seperti jalan raya, sistem pengairan, saliran, bekalan elektrik dan jaringan logistik.
Beliau turut menekankan kepentingan jaminan pasaran kepada petani supaya hasil pertanian dapat dipasarkan secara cekap dan menguntungkan.
Menurutnya lagi, manfaat lembaga berkaitan industri tersebut perlu dinikmati secara menyeluruh termasuk komuniti luar bandar, pekebun kecil, pemilik tanah adat Bumiputera serta penduduk kawasan pedalaman.
Pada masa sama, beliau menegaskan Sarawak perlu memperkukuhkan kapasiti sara diri makanan secara berperingkat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini