SAIC Guna Seni Bina Bersekutu Percepat Proses Membuat Keputusan
KUCHING: Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC) mengguna pakai pendekatan seni bina bersekutu (federated architecture) dan bukannya pengumpulan data berpusat, bagi memperkukuh interoperabiliti data dan mempercepat proses membuat keputusan berasaskan maklumat secara masa nyata.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, SAIC mengamalkan templat pelaksanaan yang standard bagi memastikan kecekapan melalui penggunaan semula corak seni bina yang telah terbukti berkesan, berbanding mereka bentuk dari awal.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan, Baru Bian, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
“Bagi projek yang mempunyai kes penggunaan serupa, SAIC menggunakan pendekatan reka bentuk yang sama bagi menyeragamkan skema data merentasi pelbagai agensi.
“SAIC tetap mengekalkan prinsip utama yang tidak boleh dikompromi termasuk memastikan semua data dan sistem pengkomputeran kekal berdaulat di Sarawak,” katanya.
Tambahnya lagi, hak penjagaan data kekal di bawah agensi rakan kongsi masing-masing, dengan SAIC hanya bertindak sebagai pemegang amanah.
Selain itu, beliau memberitahu, SAIC sedang membangunkan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI Blueprint) bagi memandu pembangunan teknologi kecerdasan buatan di Sarawak.
Tambahnya lagi, SAIC bersama rakan strategik juga akan memulakan pembangunan grid kecerdasan buatan (AI) iaitu rangkaian grid yang menghubungkan sistem pemprosesan data dengan memanfaatkan kapasiti hidroelektrik Sarawak bagi menyokong pengkomputeran AI yang mampan.
Dalam masa sama katanya, Projek DeepSAR turut diperkenalkan sebagai inisiatif asas untuk membangunkan rangkaian digital bersatu dan selamat bagi Sarawak, memfokuskan kepada tiga sektor utama iaitu tenaga, keselamatan makanan khususnya padi serta aset semula jadi dan biodiversiti. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery