Projek Naik Taraf Stadium Negeri Terima Suntikan Dana RM7.05 Juta
KUCHING: Projek menaik taraf Stadium Negeri menerima suntikan dana sebanyak RM7.05 juta daripada Kerajaan Sarawak selepas hampir 43 tahun menjadi stadium keramat bola sepak negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi melaksanakan penambahbaikan menyeluruh untuk memastikan kemudahan stadium berada pada tahap selamat, moden dan mematuhi piawaian semasa.
“Antara skop utama termasuk kerja menaik taraf tempat duduk penonton, pemasangan sistem lampu LED baharu dan skrin LED, naik taraf kaunter tiket, baik pulih bilik persalinan, tandas serta surau, selain meningkatkan infrastruktur sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek berkenaan akan menyediakan persekitaran lebih kondusif bagi penganjuran pertandingan bola sepak di pelbagai peringkat, termasuk Liga Premier Sarawak yang menjadi platform penting pembangunan pemain tempatan dan kelab komuniti sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Menyentuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi, beliau berkata Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) melalui SSC sentiasa menggalakkan serta memperkukuh kerjasama strategik antara persatuan sukan negeri, Jabatan Pendidikan Sarawak serta agensi dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan pembangunan sukan di peringkat sekolah dan akar umbi dapat dilaksanakan secara lebih tersusun merentasi pelbagai jenis sukan.
“Ini termasuk pembangunan jurulatih dalam kalangan guru, pelaksanaan program mengenal pasti bakat merentasi pelbagai jenis sukan, penganjuran pertandingan sekolah dan komuniti serta penyelarasan laluan pembangunan atlet secara lebih sistematik,” jelasnya.
Dalam pada itu tambahnya, SSC turut menganjurkan kursus sains sukan Tahap 1 hingga Tahap 3 secara berterusan bagi melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah dan berpotensi dalam pelbagai disiplin sukan. – EDISI UKAS