Penyerahan Kuasa Kawal Selia Perkukuh Pengurusan Alam Sekitar Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak mampu memperkukuhkan keupayaan negeri dalam menggubal dasar serta melaksanakan pengurusan alam sekitar yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan tempatan jika memiliki sepenuhnya kuasa kawal selia alam sekitar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, antara manfaat utama adalah keupayaan untuk menggubal dasar, garis panduan dan peraturan yang lebih bersesuaian dengan keadaan geografi, biodiversiti serta konteks sosio-ekonomi Sarawak yang unik dan berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Ini juga membolehkan Kerajaan Sarawak melaksanakan pendekatan yang lebih fleksibel, bersasar dan praktikal dalam pengurusan alam sekitar, termasuk dalam aspek pembangunan tanah, perlindungan hutan, serta kawalan pencemaran,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan penyerahan ini akan memperkukuh keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan serta memastikan kelestarian alam sekitar Sarawak dapat dipelihara secara lebih menyeluruh.
Menyentuh mengenai usaha Kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Datuk Sharifah Hasidah mendedahkan antara usaha yang diambil termasuklah penglibatan terus kerajaan negeri dalam rundingan dan pelaksanaan serta pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan melalui sistem pemantauan berstruktur bagi memastikan setiap keputusan rundingan diikuti dengan tindakan susulan yang jelas.
“Pada masa ini, penyelesaian isu-isu tertunggak MA63 memerlukan penelitian berterusan kerana melibatkan pelbagai aspek perundangan, dasar serta persetujuan pelbagai pihak.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Sarawak akan terus komited melaksanakan pendekatan rundingan konstruktif melalui platform sedia ada bagi memastikan semua isu MA63 dapat diselesaikan secara progresif dan tuntas,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS