SOR JKR Sarawak Pastikan Projek RTP Lebih Telus & Efisien
KUCHING: Penggunaan ‘Schedule of Rates’ (SOR) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di seluruh negeri dapat dilaksanakan secara lebih telus, konsisten dan efisien khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman yang mencabar.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, SOR yang ditetapkan JKR Sarawak merupakan mekanisme penetapan harga yang disahkan secara teknikal berdasarkan keadaan pasaran semasa, harga bahan binaan serta keperluan kejuruteraan dan teknikal projek.
Katanya, pendekatan tersebut juga penting bagi memastikan setiap projek RTP dapat dilaksanakan mengikut piawaian yang seragam selain membantu mempercepat proses kelulusan dan pelaksanaan projek demi manfaat rakyat.
“SOR digunakan untuk mewujudkan keseragaman kadar bagi semua projek RTP yang dilaksanakan oleh JKR Sarawak, sekali gus meningkatkan ketelusan, konsistensi dan akauntabiliti dalam perbelanjaan awam, selain mengurangkan risiko ketidakselarasan harga antara projek dan lokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kebanyakan projek RTP di Sarawak melibatkan kawasan pedalaman yang sukar diakses selain berskala kecil dan bertaburan, sekali gus memerlukan kos pelaksanaan yang lebih tinggi berbanding projek biasa.
Menurutnya, faktor logistik turut memberi cabaran besar apabila penghantaran bahan binaan ke kawasan pedalaman memerlukan pelbagai mod pengangkutan termasuk jalan raya, sungai dan laut.
“Seiring dengan ketidaktentuan pasaran semasa, SOR disemak dan dikemas kini secara berkala untuk menentukan harga semasa bahan binaan, kos buruh, pengangkutan serta kos loji dan peralatan bagi memastikan rangka kerja harga yang lebih stabil dan boleh diramal, khususnya ketika berlaku turun naik harga bahan binaan,” jelasnya lagi.
Malah katanya, penggunaan SOR turut membantu mengurangkan kelewatan pentadbiran selain memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat luar bandar.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) akan terus melaksanakan semakan serta libat urus bersama pihak industri bagi memastikan kadar SOR kekal adil, kompetitif dan praktikal untuk semua pihak.-EDISI UKAS