DUN Sarawak Luluskan Usul Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan usul pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Usul tersebut diluluskan setelah mendapat majoriti undian daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan turut dibahaskan oleh lima ADUN.
Terdahulu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya telah mengemukakan usul tersebut dan menyenaraikan enam ADUN sebagai ahli jawatankuasa.
Mereka ialah ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor sebagai pengerusi, manakala lima ahlinya iaitu ADUN Batu Lintang See Chee How, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Ngemah Anyi Jana dan ADUN Tellian Royston Valentine.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media, Datuk Dr Juanda memberitahu, di bawah Seksyen 42(3) Ordinan Ombudsman Sarawak 2023, sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas boleh dilantik melalui usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri untuk menimbangkan apa-apa perkara berkaitan laporan yang dibangkitkan dalam Dewan.
Katanya, jawatankuasa tersebut diwujudkan bagi memastikan segala laporan, rekomendasi serta teguran yang dikemukakan dalam laporan Ombudsman dipatuhi dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
"Sebarang hasil dapatan daripada laporan dan aduan rakyat yang dinilai oleh pihak Ombudsman, dan sekiranya Ombudsman mendapati terdapat asas untuk memberikan teguran, cadangan ataupun penambahbaikan kepada pihak kerajaan, maka perkara tersebut akan disemak oleh jawatankuasa khas ini bagi memastikan tindakan telah diambil," katanya.
Tambah beliau, langkah itu membuktikan Sarawak kini bergerak setaraf dengan negara maju dalam memastikan isu salah tadbir urus dan salah guna kuasa ditegur serta diperbetulkan melalui mekanisme semak dan imbang yang lebih telus.
Datuk Dr Juanda juga menjelaskan, laporan Ombudsman akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri dan boleh dibahaskan oleh ADUN sebagai manifestasi ketelusan dan akauntabiliti pada tahap tertinggi.
"Pada masa ini, ordinan kita menetapkan bidang kuasa salah tadbir urus yang akan disemak oleh pihak Ombudsman melibatkan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri, perusahaan milik kerajaan negeri serta mana-mana pihak yang menerima upah atau gaji daripada kerajaan negeri," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi & Ibanez Jeffery