Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman Perkukuh Akauntabiliti Institusi DUN
KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman Sarawak disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh akauntabiliti institusi dan memastikan setiap aduan berkaitan penyampaian perkhidmatan awam diberi perhatian sewajarnya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, pelantikan jawatankuasa tersebut bukan gimik politik sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem tadbir urus yang lebih telus, responsif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Hari ini, kita mengambil satu lagi langkah penting dengan memastikan dapatan dan laporan yang terhasil daripada proses Ombudsman diberi perhatian legislatif sewajarnya melalui jawatankuasa ini.
“Ini menunjukkan sebuah kerajaan yang cukup yakin untuk menerima penelitian kerana komited terhadap penambahbaikan berterusan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul pelantikan Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Menurut Wilfred, penubuhan jawatankuasa tersebut turut membuka ruang kepada semakan yang lebih bebas dan tersusun terhadap isu-isu yang dibangkitkan rakyat sebelum dibawa untuk pertimbangan di peringkat DUN.
“Ini mewujudkan satu lapisan tambahan akauntabiliti institusi yang mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus kerajaan,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS