KUCHING: Acara larian terbesar, Kuching Marathon 2026 dijangka mampu menarik penyertaan seramai 16,000 peserta pada edisi ke-11 penganjurannya tahun ini, sekaligus menjadikan ia jumlah peserta terbanyak sepanjang tempoh penganjurannya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara yang akan berlangsung pada 27 September 2026 itu turut mencatat peningkatan ketara berbanding edisi tahun lalu yang merekodkan kira-kira 14,000 peserta, dengan hampir separuh daripadanya datang dari luar Kuching.
“Setakat ini, seramai 8,000 peserta telah mendaftar dan saya percaya dari sekarang, Mei hingga September, mereka akan dengan mudah melepasi atau mengatasi sasaran 16,000 peserta, malah mungkin lebih ramai lagi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Kuching Marathon 2026 di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Rabu.
Jelas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu lagi, perkembangan pesat Kuching Marathon sebagai bukti kejayaan penganjuran acara sukan massa yang bukan sahaja memupuk minat sukan larian, tetapi turut memberi impak langsung kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Untuk makluman, hadiah keseluruhan berjumlah RM125,000 akan menjadi rebutan, manakala semua penamat akan menerima pingat ‘finisher’, dengan tambahan t-shirt ‘finisher’ untuk kategori maraton penuh dan separuh maraton.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut merancang inisiatif ‘Premier Elite Marathoners’ bagi mengiktiraf peserta yang berjaya menamatkan tiga marathon utama Sarawak iaitu Kuching, Miri dan Bintulu dalam tempoh satu tahun. -EDISI UKAS