Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman, Konsep GIAT Perkukuh Tadbir Urus Sarawak
KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh aspek pengawasan, akauntabiliti dan kredibiliti institusi dalam sistem pentadbiran kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, langkah tersebut mencerminkan kesungguhan Sarawak dalam memperkukuh budaya akauntabiliti serta meningkatkan tadbir urus demokrasi secara matang dan bertanggungjawab.
Menurutnya, Sarawak bakal menjadi wilayah pertama di Malaysia yang memperkenalkan jawatankuasa pilihan legislatif khusus berkaitan fungsi ombudsman dan mekanisme akauntabiliti awam, sekali gus membuktikan kesediaannya menjadi peneraju dalam reformasi tadbir urus dan inovasi institusi.
“Penubuhan jawatankuasa ini penting kerana tadbir urus yang baik bukan sahaja perlu wujud dari segi prinsip, tetapi juga mesti disokong oleh mekanisme institusi yang kukuh untuk memantau prestasi, meneliti aduan, memastikan ketelusan serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, berhubung pelantikan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Dalam pada itu, Abdul Yakub turut mengetengahkan kepentingan pelaksanaan prinsip GIAT yang menekankan tadbir urus baik, integriti, akauntabiliti dan ketelusan secara berterusan.
Ujar beliau, prinsip tersebut bukan sekadar slogan atau istilah pentadbiran, malah merupakan nilai teras yang perlu diterapkan oleh setiap institusi awam, termasuk penjawat-penjawat awam dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
“Apabila keempat-empat prinsip ini diamalkan secara konsisten, ia akan mewujudkan kepercayaan terhadap institusi, memperkukuh demokrasi dan membina budaya pentadbiran yang dihormati rakyat,”tambah beliau. -EDISI UKAS