Lebih 2,000 Peserta Sertai HLS ‘Samarahan Half Marathon’ 2026
KUCHING: Lebih 2,000 peserta dari dalam dan luar Sarawak telah mendaftar dalam acara Hock Seng Lee (HSL) ‘Samarahan Half Marathon’ 2026 yang bakal berlangsung hujung minggu ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, HSL ‘Samarahan Marathon’ telah berkembang menjadi salah satu acara sukan tahunan utama di Samarahan dan membawa elemen pelancongan dengan menarik bukan sahaja pelari tempatan, malah peserta dari luar Malaysia.
“Kerajaan Sarawak, melalui dua kementerian saya akan terus bekerjasama dengan penganjur yang ingin menganjurkan acara seperti ini yang mempromosikan gaya hidup sihat, pelancongan, serta penambahbaikan komuniti,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media HLS Samarahan Half Marathon 2026 di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Rabu.
Difahamkan, acara kali yang telah memasuki edisi kelima penganjurannya terpaksa dipendekkan jarak perlumbaan ekoran kerja-kerja pembinaan laluan Transit Aliran Autonomi (ART).
“Namun pada kali ini, ia tidak akan menjadi maraton penuh, sebaliknya akan menjadi separuh maraton kerana seperti yang dapat dilihat, keseluruhan kawasan di Samarahan kini sedang mengalami banyak kerja-kerja pembinaan berikutan pembinaan laluan ART.
“Keadaan itu mungkin tidak begitu sesuai serta kondusif untuk pelari melalui kawasan tapak pembinaan tersebut kerana kita perlu memastikan juga bahawa para atlet berada dalam keadaan selamat,” jelasnya lgi.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Morshidi Fredrick dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Dzulkornain Masron. -EDISI UKAS