Pengambilalihan Jalan Balak Buka Laluan Pembangunan Baharu Di Baram
KUCHING: Penduduk pedalaman Baram bakal menikmati kemudahan jalan raya lebih baik susulan keputusan Kerajaan Sarawak mengambil alih lebih 7,000 kilometer jalan balak di seluruh negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,700 kilometer jalan balak terletak di Bahagian Baram yang menjadi laluan utama penduduk di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, langkah tersebut membolehkan jalan berkenaan diselenggara, dibaik pulih dan dinaik taraf secara berperingkat menggunakan peruntukan dana MARRIS daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kami amat berterima kasih apabila Premier Sarawak memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan untuk mengambil alih semua jalan balak di Sarawak yang melibatkan lebih 7,000 kilometer.
“Daripada jumlah itu, 2,700 kilometer berada di Bahagian Baram. Apabila jalan ini diwartakan sebagai jalan negeri, maka kita layak menerima dana MARRIS untuk tujuan penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf jalan secara berfasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat 27 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari beberapa daerah kecil di Baram bersama Persatuan Kelabit Sarawak kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat berkata komuniti terbabit turut menyuarakan penghargaan kepada Premier Sarawak dan Kerajaan GPS atas pelbagai pembangunan yang telah dilaksanakan di Bario termasuk bekalan elektrik 24 jam, capaian telekomunikasi dan internet serta bekalan air bersih.
Tambah beliau, antara permintaan utama yang dikemukakan kepada Premier Sarawak ialah menaik taraf jalan balak dari Pekan Lapok hingga ke Bario yang menghubungkan lebih 100 rumah panjang di kawasan pedalaman.
Selain itu, komuniti Kelabit turut memohon supaya industri Beras Bario diperkasakan semula menerusi pemodenan dan mekanisasi bagi meningkatkan hasil pengeluaran beras istimewa tersebut yang kini masih diusahakan secara tradisional.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata Premier Sarawak turut berkongsi beberapa pendekatan moden yang sedang dilaksanakan dalam industri penanaman padi di kawasan lain di Sarawak yang berjaya meningkatkan hasil pengeluaran secara ketara.
Pada masa sama, komuniti Kelabit turut mengemukakan permohonan agar diwujudkan jawatan Temenggong bagi masyarakat Kelabit seperti komuniti minoriti Orang Ulu lain termasuk Lun Bawang, Bisaya dan Penan.-EDISI UKAS