Penambahan 99 Kawasan DUN Perlu Dipercepat Demi Perkukuh Penyampaian Kerajaan
KUCHING: Proses persempadanan semula dan pelaksanaan penambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99 kawasan wajar dipercepatkan bagi memastikan sistem representasi politik dan penyampaian pembangunan negeri lebih efektif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, langkah tersebut penting dalam memperkukuh pentadbiran kerajaan agar lebih dekat dengan rakyat dan responsif terhadap keperluan tempatan.
Menurut beliau, Sarawak kini sedang memasuki fasa penting untuk merealisasikan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang merangkumi pembangunan ekonomi baharu, transformasi digital, pembangunan luar bandar dan pengukuhan tadbir urus.
“Semua agenda besar ini memerlukan sistem penyampaian kerajaan yang lebih cekap, lebih dekat dengan rakyat dan lebih responsif terhadap keperluan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah Yakub Arbi, realiti geografi Sarawak yang luas menyebabkan terdapat kawasan DUN ketika ini terlalu besar sehingga memerlukan perjalanan berjam-jam melalui jalan darat dan sungai untuk bertemu rakyat.
Sehubungan itu katanya, struktur representasi politik sedia ada perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa supaya jurang pembangunan bandar dan luar bandar dapat dirapatkan dengan lebih berkesan.
“Dengan kawasan yang lebih kecil dan lebih fokus, wakil rakyat dapat memberi perkhidmatan lebih efektif, penyampaian pembangunan dapat dipercepat dan isu rakyat dapat ditangani dengan lebih segera,” ujarnya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Gambar: Ibanez Jeffery