Projek Padi Hibrid Sarikei Pemangkin Keterjaminan Makanan Sarawak
KUCHING: Projek pembangunan hab penanaman padi berkecekapan tinggi dan pengeluaran benih padi hibrid di Sungai Loba Pasi, Sarikei dilihat mampu menjadi pemangkin baharu kepada agenda keterjaminan makanan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata projek tersebut merupakan susulan kejayaan projek percubaan penanaman padi hibrid di Sungai Padi pada tahun 2024.
Menurut beliau, Onemas Agriculture Sdn Bhd telah menerima kelulusan pembangunan projek berkenaan selepas mengemukakan cadangan rasmi kepada Premier Sarawak ketika lawatan rasmi ke tapak projek pada 16 Januari 2025.
“Melalui kerjasama antara LCDA Agri Business Sdn Bhd dan Onemas Agriculture Sdn Bhd, kira-kira 143.52 hektar tanah di Sungai Loba Pasi, Sarikei akan dibangunkan sebagai hab penanaman padi berkecekapan tinggi serta pengeluaran benih padi hibrid.
“Inisiatif ini sejajar dengan agenda Sarawak dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan pemodenan sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, projek tersebut kini sedang menunggu kelulusan akhir daripada Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) sebelum pelaksanaan dapat dimulakan.
Dalam pada itu, Datuk Ding optimis bahawa kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 akan membuka lebih banyak peluang kepada projek perintis dan kerjasama strategik melibatkan lembaga tersebut, usahawan tempatan, akademia serta penyedia teknologi.
Katanya, kerjasama sedemikian penting dalam memperluaskan penggunaan teknologi pertanian moden seperti mekanisasi, sistem pengairan pintar, teknologi dron dan pertanian pintar yang disesuaikan dengan keadaan geografi Sarawak.
“Onemas Agriculture Sdn Bhd telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu Sarawak mencapai sasaran 60 peratus sara diri beras menjelang tahun 2030.
“Oleh itu, saya berharap kementerian berkaitan dapat memberi lampu hijau kepada projek ini secepat mungkin,” ujarnya.
Beliau menambah, pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pembangunan industri padi hibrid di Meradong, malah membolehkan syarikat berkenaan berperanan sebagai ‘anchor farmer’ dalam membantu petani kecil melalui perkongsian kepakaran teknikal dan bimbingan pertanian moden.-EDISI UKAS